The Official Website of
Ministry of Local Government & Housing Sarawak

PBT disaran mulakan langkah pengasingan sampah untuk kelestarian alam sekitar
Posted on : 27 Sep 2019  Source of News: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini disaran agar memulakan langkah pengasingan sampah di kawasan masing-masing untuk kelestarian alam sekitar. 

Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Bakrie Zaini berkata budaya pengasingan sampah ini dilaksanakan dengan ketat di negara seperti Jepun. 

Justeru beliau berharap budaya pengasingan sampah ini akan dimulakan di Malaysia khususnya di Sarawak. 

“Kita belum ada undang-undang pengasingan sampah tetapi saya cadangkan pihak majlis untuk menyediakan tiga tong bermula di  pusat membeli belah dan sekolah-sekolah. 

“Selain itu saya juga mencadangkan kepada Trineken (Sarawak) Sdn Bhd untuk menyediakan khidmat pungutan bahan kitar semula sekurang-kurangkan sekali semingu,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah di Bandaraya Kuching dan Kota Samarahan Tahun 2019 di Auditorium Pustaka Negeri di sini, hari ini. 

Bakrie turut mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak agar mengadakan lawatan sambil belajar ke tapak pelupusan sampah di Mambong.

Tapak pelupusan sampah di Mambong katanya adalah bertaraf antarabangsa dan beliau menggalakkan pihak sekolah untuk melawat tapak ini bagi mendedahkan pelajarnya dengan proses pengurusan sampah di sini. 

Beliau katanya akan bercakap dengan Trineken supaya menerima lawatan daripada pihak sekolah untuk anak-anak pelajar kita memahami pengurusan sampah dan permasalahannya. 

Bercakap mengenai pertandingan tersebut ia merupakan anjuran kementerian dengan kerjasama Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Tetra Park (Malaysia) Sdn Bhd, Pejabat Pendidikan Sarawak dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar. 

Turut menjayakan program ini empat PBT di Bandaraya Kuching dan Kota Samarahan iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS). 

Sebanyak 57 buah sekolah terdiri daripada 29 buah sekolah menengah dan 28 buah sekolah rendah menyertai pertandingan ini yang bermula pada 1 Mac hingga 30 Ogos 2019. 

Sepanjang pertandingan tersebut 219,082 kilogram bahan kitar semula berjaya dikutip dan dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk kategori PBT.