The Official Website of
Ministry of Local Government & Housing Sarawak

Ambil langkah sewajarnya hadapi cuaca panas dan kering sehingga September
Posted on : 22 Aug 2019  Source of News: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas dan kering yang sedang melanda Sarawak ketika ini. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian menerusi kenyataan hari ini berkata cuaca panas dan kering  ini akan berlarutan sehingga bulan September ini.  

“Musim kering berpanjangan ini boleh menyebabkan beberapa masalah seperti krisis bekalan air, cuaca panas, kebakaran hutan, jerebu dan penyakit-penyakit. 

“Antara penyakit-penyakit yang berkait dengan masalah ini adalah kejadian penyakit bawaan air dan makanan, penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan penyakit berkaitan jerebu iaitu jangkitan pada saluran atas pernafasan, asma dan konjunktivitis. 

“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah sewajarnya,” ujarnya. 

Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah sentiasa mengamalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan bersih selepas keluar dari tandas atau sebelum makan. 

Pastikan minum air yang bersih atau dimasak terlebih dahulu dan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari. 

Berjimat dalam penggunaan air seperti menggunakan air yang telah digunakan (kitar semula) untuk menyiram pokok, mencuci kereta, mencuci lantai dan longkang. 

Orang ramai turut disarankan agar menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes iaitu penyebab denggi seperti bekas plastik, polistirene, tin kosong, tayar dan pasu bunga. 

Selain itu orang ramai yang menyimpan air di dalam bekas adalah disarankan supaya memastikan bekas penyimpanan air adalah bersih dan selamat iaitu tidak pernah digunakan untuk menyimpan bahan kimia atau racun. 

Semua bekas penyimpanan air ditutup supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, tidak tercemar oleh bakteria dan haiwan perosak. 

Masukkan abate ke dalam bekas-bekas air yang terbuka dan air yang disimpan perlu ditukar sekiranya ada perubahan bau, warna, rasa dan terdapat pembiakan nyamuk atau lumut di dalam bekas penyimpanan. 

Hadkan aktiviti di luar dan jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas. 

Tinggalkan dalam rumah yang mempunyai pengudaraan yang cukup atau kelengkapan pendingin hawa. 

Cuaca panas menurut Dr Sim turut menyebabkan kadar pencemaran udara yang tinggi. Justeru orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan penutup  hidung dan mulut jika melakukan aktiviti di luar terutamannya mereka yang berisiko tinggi dan penunggang motosikal. 

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada media massa dan mengikut nasihat daripada pihak berkuasa. 

Sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit berkaitan jerebu atau cuaca panas seperti yang telah dinyatakan, segera pergi ke klinik atau hospital berdekatan.