The Official Website of
Ministry of Local Government & Housing Sarawak

RUU Pengurusan Strata 2019 diluluskan DUN, pastikan bangunan strata sentiasa dalam keadaan baik dan selamat
Posted on : 04 Nov 2019  Source of News: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata kini pemilik unit bangunan strata diwajibkan membayar caj bulanan penyelenggaraan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Strata, 2019 hari ini.

Beliau berkata bayaran caj bulanan itu bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan rutin kemudahan-kemudahan biasa di dalam serta persekitaran bangunan.

Beliau berkata kurang daripada 10 peratus caj bulanan digunakan untuk membiayai kerja-kerja baik pulih besar dan penggantian serta kerja-kerja mengecat semula.

Tambahnya, syarat pembayaran caj tambahan itu turut dikenakan ke atas setiap unit yang tidak dijual dan bagi kes itu, pemaju harus menjelaskan bayarannya.

"RUU ini juga menjadikan mandatori untuk pembangunan strata menubuhkan badan pengurusan yang bertanggungjawab mengurus serta menyelenggara bangunan sub-bahagi atau di atas tanah.

"Badan pengurusan ini juga bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan dan menyediakan akaun dana. Akaun dana ini perlu diaudit setiap tahun untuk memastikan wang dikumpul diurus dengan betul," katanya ketika membentangkan RUU Pengurusan Strata 2019 pada Persidangan DUN hari ini.

Dr Sim berkata RUU itu juga menggariskan tugas serta kuasa badan pengurusan berkenaan bagi memastikan kesejahteraan persekitaran bangunan seperti kuasa untuk menggubal serta menguatkuasakan undang-undang kecil.

Selain itu katanya, satu tribunal akan ditubuh bagi menyelesaikan pertikaian antara komuniti bangunan strata.

"RUU ini juga membolehkan penubuhan badan pengurusan subsidiari untuk menyelenggara dan mengurus subsidiari hartanah biasa bukan kediaman jika terdapat kes pembangunan strata adalah pembangunan bercampur," jelasnya.

Dr Sim memberitahu Pesuruhjaya Bangunan akan dilantik oleh beliau selain melantik timbalan pesuruhjaya dan pegawai-pegawai lain bagi mentadbir serta menguatkuasakan peruntukan di bawah undang-undang baharu itu.

"Bagi memastikan penguatkuasaan berkesan, hukuman denda RM5,000 hingga RM250,000 dan atau penjara satu hingga lima tahun jika ada pihak didapati melanggar peruntukan undang-undang baharu ini," jelasnya.

Beliau menambah, undang-undang baharu akan memberi manfaat kepada pembeli dan pemaju serta memberi keyakinan kepada pembeli apabila membeli unit strata.

Perkara itu katanya secara tidak langsung akan meningkatkan permintaan terhadap hartanah strata.

"Selain itu, kita mahu memastikan bangunan-bangunan strata di bandar-bandar negeri ini sentiasa dalam keadaan baik terutama bahagian muka bangunan dan tiada pandangan yang menyakitkan mata,"ujarnya.